
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan minggu dan denda RM1,000 atau penjara enam minggu oleh Mahkamah Majistret pada isnin selepas mengaku bersalah mencuri empat tin bir dari sebuah pasar raya besar.
Masizuan Mumin mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan mencuri empat tin Carlsberg Special Brew milik Bataras Hypermarket Manggatal pada jam 11.30 pagi, 12 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa seorang pekerja pasar raya menahan Masizuan di luar premis berkenaan sebelum memintanya membuka beg silang yang dibawanya.
Pemeriksaan menemui empat tin minuman beralkohol di dalam beg tersebut yang dibawa keluar tanpa membuat bayaran di kaunter pembayaran.
Masizuan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bersama barangan yang dicuri untuk tindakan lanjut.
Siasatan mengesahkan nombor kod bar pada barangan yang dirampas sepadan dengan barang yang dilaporkan hilang dari pasar raya berkenaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah bercerai dan mempunyai tiga orang anak.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 41 tahun didenda RM3,000 atau penjara lima bulan selepas mengaku bersalah membantu melupuskan harta curi.
Dion Daim mengaku membantu mengalihkan dan menyembunyikan sebuah tong gas serta lampu solar LED 400 watt yang dicuri daripada Sim Bee Chin di Pusat Perniagaan Inanam kira-kira jam 9 malam pada 11 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut pihak pendakwaan barangan tersebut dilaporkan hilang dari kuarters pekerja di Jalan Pan Borneo, Jalan Kionsom, Inanam pada 11 Jun.
Siasatan mendapati Dion tinggal di kuarters berkenaan dan barangan tersebut kali terakhir dilihat pada 5 Jun.
Tertuduh ditahan polis pada hari yang sama sebelum barangan curi itu ditemui semula di kawasan semak berhampiran tempat kejadian.
Peguam bela bertugas Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Dion memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah yang memohon hukuman berbentuk pengajaran bagi kedua-dua kes.






