
SEORANG pembayar cukai di Kolombong telah bersetuju secara lisan untuk menghentikan aktiviti memelihara burung murai di rumahnya dan bersedia merancang pemindahan haiwan peliharaan itu bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) serta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Jurucakap DBKK berkata sejumlah 10 ekor burung ditemui di dalam kawasan rumah tersebut semasa pemeriksaan awal bulan ini.
Menurutnya pemeriksaan itu dijalankan oleh pasukan seramai 12 orang yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran (EH), Perlesenan, Perancangan Bandar dan Penguatkuasaan DBKK selain wakil JHL.
“Pihak JHL meminta pemilik rumah memindahkan burung-burung itu secara berperingkat,” katanya.
“Individu terbabit bersetuju dengan permintaan itu tetapi memohon tempoh masa untuk melaksanakan perkara tersebut.
“Kami dijadualkan mengadakan pertemuan dengan pembayar cukai dan pihak JHL pada minggu kedua bulan Oktober untuk memperincikan pemindahan ini.”Jurucakap itu berkata demikian sebagai respons kepada aduan mengenai bunyi bising dan bau busuk dari kediaman tersebut.
Seorang penduduk Taman Nelly bernama Sisca mengadu tentang gangguan yang ditimbulkan oleh kicauan burung yang kuat dari kawasan rumah berkenaan sehingga mengganggu ketenteraman kejiranan.
“Bunyi itu kedengaran siang dan malam. Kami tidak dapat tidur lena kerana bising.
“Terlalu banyak sangkar burung digantung di bumbung rumah tersebut.” katanya.
Sisca juga mendakwa terdapat bau busuk dari halaman rumah di Lorong Buah Pala 1 itu.
“Kotoran burung mungkin tidak dibersihkan dengan baik. Saya bimbang kesihatan kami akan terjejas lebih-lebih lagi jika berlaku wabak penyakit berkaitan burung di sini.” tambahnya.
Beliau percaya burung-burung itu dipelihara untuk tujuan komersial dan mempersoalkan sama ada pemilik rumah mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa.
Sisca turut membangkitkan isu pengubahsuaian rumah berkenaan mendakwa tiada zon penampan antara rumah itu dengan pagar rumah bersebelahan.
Beliau berkata telah banyak kali membuat aduan kepada DBKK secara lisan dan bertulis sejak April lalu.
“Pernah ada pegawai beruniform datang memeriksa rumah itu tetapi masalah masih berterusan,” katanya.
Sisca juga menghantar surat aduan kepada ruangan *Hotline* yang kemudian disalurkan kepada DBKK.
Jurucakap DBKK menafikan dakwaan tidak bertindak sebaliknya menjelaskan bahawa dua pemeriksaan sudah dijalankan dan satu mesyuarat telah diadakan untuk menangani aduan kesihatan dan gangguan bunyi tersebut.
“Kakitangan EH mendapati burung-burung itu senyap semasa pemeriksaan pada September,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa dua pegawai EH pergi ke rumah itu pada 15 April, sehari selepas laporan pertama Sisca.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik rumah mempunyai permit rasmi daripada JHL untuk menternak burung murai secara komersial. Oleh sebab permit itu beliau enggan memindahkan aktiviti tersebut walaupun diminta.
“Bagaimanapun satu mesyuarat telah diadakan pada 23 Mei lalu bagi membincangkan isu di Taman Nelly.
“Seorang pegawai kanan Jabatan Perlesenan menegaskan bahawa kawasan itu adalah zon kediaman, jadi ia tidak sesuai untuk menjalankan perniagaan.
“DBKK tidak akan mengeluarkan lesen jika ia dijalankan di kawasan perumahan kecuali di zon komersial.” ujarnya.
Seorang wakil JHL yang hadir turut memaklumkan perkara itu akan dibawa kepada perhatian pihak atasan.
“Kami akan membincangkan perkara ini lagi pada 8 Oktober,” katanya.
Sementara itu jurucakap Jabatan Kawalan Bangunan DBKK berkata pemeriksaan awal mendapati pengubahsuaian rumah tersebut dilakukan tanpa kelulusan.
“Tiada pelan pengubahsuaian diterima daripada pemilik rumah.
“Pemilik telah dimaklumkan supaya mematuhi syarat-syarat kami, termasuk mengenai jarak bangunan dengan rumah bersebelahan.” jelasnya.
Jurucakap itu memberi amaran pemilik rumah boleh dikenakan tindakan lanjut di bawah Undang-Undang Kecil DBKK sekiranya gagal mematuhi arahan.
