Lelaki dibaham buaya ketika seberang sungai

10 Sep 2022 • 8:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat. - Gambar hiasan

SANDAKAN - Seorang lelaki dipercayai dibaham buaya ketika menyeberang sungai berhampiran Taman Kenari Batu 7, di sini, pada Jumaat.

Mangsa berusia 50-an yang belum diketahui identitinya dikatakan menyeberang sungai dengan menggunakan rakit sebelum disambar reptilia berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.57 malam Jumaat.

Katanya, seramai tujuh anggota bomba ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan.

"Menurut maklumat itu, terdapat seorang lelaki dilaporkan dibaham buaya di kawasan sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sepanjang sungai di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya namun tidak berhasil," kata kenyataan itu.

Katanya lagi, operasi disambung semula pada jam 6 pagi Sabtu dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.