Lelaki dicekup, tidak sempat seludup beg tangan tiruan bernilai RM435,000

LocalBusiness & Finance
23 Dec 2024 • 8:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki dicekup selepas dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beg tangan tiruan di Kampung Rantau Panjang, Rantau Panjang pada Sabtu. (Gambar kecil: Nik Ros Azhan) Foto PGA

image is not available
Lori yang digunakan suspek ketika menyeludup.

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki dicekup Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu selepas dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beg tangan tiruan bernilai RM435,000 dalam serbuan di Kampung Rantau Panjang di sini pada Sabtu.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan ketika memandu lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 6.30 petang semasa penugasan Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menemukan 435 unit beg tangan pelbagai jenama dipercayai tiruan yang disyaki diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.

"Kes disiasat bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019.

"Suspek dan barangan rampasan diserahkan ke KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita pada Isnin.