Lelaki didakwa amang seksual budak lelaki, 10

LocalPolitics
11 Mar 2025 • 1:23 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Seorang lelaki Pakistan berusia 35 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Mohsin Khan dihadapkan ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, untuk menghadapi pertuduhan dihadapinya pada Isnin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohsin kerana dia memberitahu mahkamah bahawa dia hanya tahu bahasa Pashto dan dia tidak memahami pertuduhan dihadapinya selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia mendakwa baru tiba di negeri iini dan dia tidak memahami Bahasa Melayu.

Mohsin didakwa melakukan kesalahan itu terhadap kanak-kanak lelaki terbabit dengan menjilat dan menghisap alat sulitnya jam 3.30 petang pada 28 Dis 2024 di belakang tandas sebuah masjid di Putatan.

Kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 April tahun ini untuk sebutan semula sementara menunggu ketersediaan jurubahasa Pashto dan memerintahkan Mohsin direman lanjut sementara menunggu tarikh terbabit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim tidak menawarkan jaminan kepada Mohsin atas alasan pihak pendakwaan masih menunggu pengesahan ke atas dokumen Mohsin yang diberikan keluarganya.

Mahkamah dimaklumkan semasa tangkapan, Mohsin memberitahu polis bahawa pasportnya hilang dan kemudian keluarganya memberikan dokumen kepada polis yang kemudiannya menghantar dokumen itu ke Jabatan Imigresen untuk pengesahan.

Mohsin tidak diwakili.