Lelaki Didakwa Cederakan Isteri Hingga Keguguran

LocalPolitics
7 May 2026 • 3:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Lelaki Didakwa Cederakan Isteri Hingga Keguguran

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya dalam dua kejadian berasingan, termasuk satu insiden yang didakwa mengakibatkan mangsa keguguran.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat menerusi jurubahasa mahkamah dan memohon untuk dibicarakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dengan memukul mangsa menggunakan kerusi plastik dan hos getah di sebuah rumah di Bandar Amanjaya kira-kira jam 5 petang pada 29 Mac lalu.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa menggunakan penyangkut baju plastik dan penyangkut besi di lokasi sama kira-kira jam 9 pagi pada 23 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ruzanna Abdul Rahim.

Mahkamah dimaklumkan bahawa walaupun kesalahan itu boleh dijamin, jaminan tidak dapat diberikan kerana tertuduh kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Dalam rayuan mitigasi, pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai dua isteri dan merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi 11 anak, termasuk tujuh yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan jaminan tidak dapat dibenarkan berikutan status tertuduh sebagai banduan dan menetapkan 16 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Kes itu mendapat perhatian meluas selepas mangsa yang juga penjawat awam dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat kejadian berkenaan sebelum disahkan keguguran kandungan ketika hamil kira-kira 12 minggu.

Polis sebelum ini mengesahkan suspek melarikan diri selepas kejadian namun berjaya ditahan di kawasan Alor Setar.

Pihak berkuasa turut memaklumkan tertuduh pernah disabitkan kesalahan pada 2021 di Johor Bahru bagi kes keganasan rumah tangga berasingan membabitkan mangsa sama. - Getaran, 7 Mei 2026