ARAU - Seorang pembantu pustakawan wanita mendakwa berdepan pengalaman mencemaskan apabila seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan ketika dia sedang bertugas di Perpustakaan Desa Padang Siding, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 12.06 tengah hari.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun sedang berada di kaunter perpustakaan sebelum didatangi lelaki berkenaan yang masuk dan duduk di sofa berhampiran tempatnya bertugas.
"Suspek telah masuk ke dalam perpustakaan tersebut dan duduk bersandar di sofa bersebelahan dengan kaunter tempat pengadu bertugas.
"Suspek dan pengadu sempat berbual sebelum pengadu sedari yang suspek ketika sedang bersandar telah mengeluarkan alat kemaluannya dan mengusap.
"Panik ekoran kejelikan tersebut, pengadu bertindak keluar daripada perpustakaan dan meminta bantuan rakannya yang juga saksi dan bekerja di Tadika Kemas Padang Siding untuk menghalau suspek," katanya pada Rabu.
Jelas Ahmad Mohsin, mangsa bersama saksi kemudiannya kembali ke perpustakaan dan mendapati lelaki berkenaan masih berada di situ sebelum mereka mengarahkannya supaya beredar.
Menurutnya, selepas lelaki itu keluar, mangsa membuat pemeriksaan terhadap beg dan dompet miliknya yang diletakkan di bawah kaunter sebelum mendapati wang tunai berjumlah RM390 hilang.
"Mangsa mengesyaki wang berkenaan diambil lelaki terbabit ketika dia keluar mendapatkan bantuan.
"Saksi yang berada di lokasi turut mendakwa melihat lelaki berkenaan melakukan perbuatan mengusap kemaluan sebelum dia bersama mangsa menghalaunya keluar dari perpustakaan," ujarnya.
Walaubagaimanapun, lelaki berkenaan yang masih belum dikenal pasti dilaporkan memakai pakaian serba hitam termasuk seluar pendek serta menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna kelabu.
Menurut Ahmad Mohsin, siasatan awal mendapati perpustakaan berkenaan terletak dalam kawasan Masjid Al-Masyoor Padang Siding dan Tadika Kemas Padang Siding yang terbuka kepada orang awam.
"Polis sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian termasuk mengambil gambar serta melakar rajah kasar lokasi.
"Rakaman percakapan mangsa dan saksi turut diambil bagi membantu siasatan, manakala suspek masih dikesan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 509 Kanun Keseksaan.
