Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi sungai

7 Apr 2026 • 8:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi SAR mangsa dilakukan di kawasan sungai di Kampung Purak Ogis, Kota Belud.

KOTA BELUD - Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi sungai bersama rakannya dalam kejadian di Kampung Purak Ogis Supuan di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, dilaporkan hilang selepas tidak kelihatan di kawasan sungai dan disyaki dibawa arus.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang.

Menurutnya, seramai sembilan anggota telah dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari BBP Kota Belud.

"Menurut maklumat awal, sekumpulan rombongan pelajar dari sebuah kolej menjalankan aktiviti riadah di lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, hanya mangsa bersama rakannya mandi di sungai tersebut sebelum mangsa dipercayai lemas.

"Susulan itu, pasukan bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan dan mendapatkan maklumat lanjut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan, namun setakat ini masih belum menemukan sebarang petunjuk.

"Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.