
Lelaki Dilapor Maut Selepas Didakwa Pukul Kepala Teman Wanita Guna Tukul
Seorang lelaki dilapor maut akibat tercekik muntahnya sendiri selepas didakwa memukul kepala teman wanitanya dengan tukul.
Menurut Mirror, polis telah dipanggil ke rumah flat seorang lelaki di Blackpool selepas jirannya menghubungi 999 pada tengah malam 2 Ogos 2021 lalu.
Jiran itu berkata dia telah terlihat seorang wanita yang berlumuran darah merangkak keluar dari rumah di atas lantai dalam keadaan separuh bogel.
Apabila pegawai tiba, mereka menemui teman wanita lelaki itu dalam keadaan cedera di kepala yang didakwa disebabkan dipukul dengan tukul.
Lelaki yang berusia 37 tahun itu kemudian mengurung dirinya di dalam rumah tersebut. Polis juga menunggu pasukan bantuan sebelum cuba masuk ke rumah itu.
Apabila polis merempuh masuk ke dalam rumah itu pada kira-kira jam 12.30 pagi, mereka mendapati bahawa lelaki yang bekerja sebagai pemandu forklift itu sudah tidak bernafas.
Polis memulakan CPR dan seterusnya diserahkan kepada pasukan paramedik. Bagaimanapun lelaki itu disahkan meninggal dunia pada jam 1.27 pagi.
Inkues yang diadakan pada hari Isnin di Dewan Perbandaran Blackpool telah diperdengarkan kes bahawa keluarganya percaya jika polis masuk sebaik sahaja mereka tiba di flat itu, lelaki itu pasti akan terselamat.
“Lelaki itu tinggal bersama pasangannya dan mereka berdua menjalani gaya hidup yang tidak sihat serta menyalahgunakan alkohol dan dadah,” kata Koroner Kanan Alan Wilson.
“Jiran terdengar bunyi dentuman dan jeritan serta menyaksikan wanita itu merangkak di luar rumah dalam keadaan separuh bogel sambil meminta pertolongan. Wanita itu berkata bahawa dia telah dipukul dengan tukul di kepala,” kata Alan lagi.
Inkues kes berkata bahawa apabila polis tiba di tempat kejadian mereka mendengar bunyi perabot dialih yang menyebabkan mereka mengesyaki lelaki itu sedang menghalang pintu masuk.
Pegawai polis yang membawa perisai tiba 17 minit kemudian. Kemudian mereka telah merempuh masuk sebelum mendapati lelaki itu tidak bertindak balas berada dalam bilik tidur.
“Mereka mendapati lelaki itu dalam keadaan terlentang dan tidak bernafas. Beberapa cecair coklat gelap turut keluar dari hidung dan mulut lelaki tersebut,” tambah Alan.
Inkues mendengar bahawa teman wanita lelaki itu telah dibawa ke Hospital Diraja Preston di mana dia menjalani pembedahan saraf untuk tengkorak yang retak dan pendarahan otak.
Teman wanita lelaki itu kemudiannya ditangkap kerana disyaki membunuh selepas polis menyangka kematian lelaki itu disebabkan oleh kecederaan. Tetapi kemudiannya ditolak oleh pakar patologi Home Office Dr Alison Armor dan wanita itu dibebaskan tanpa tuduhan.
Bedah siasat mendapati punca kematian lelaki itu adalah disebabkan oleh kandungan perut yang toksik akibat kokain.
Sumber: Mirror
The post Lelaki Dilapor Maut Selepas Didakwa Pukul Kepala Teman Wanita Guna Tukul appeared first on Siakap Keli.


