
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 29 tahun pada Khamis dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM1,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana memecah masuk sebuah restoran dengan tujuan mencuri.
Ag Ridjan Ag Johan mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain atas kesalahan pecah rumah di Mamasita Mexican Restaurant & Tapas Bar di Jalan Dewan pada jam 8.10 pagi, 2 September lalu.
Ag Ridjan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dengan sebatan atau denda bagi kesalahan berulang jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Fazriel Fardiansyah ketika membentangkan fakta kes memaklumkan mahkamah bahawa pemilik restoran Brandon Lincoln Young menemui restoran itu telah dipecah masuk sekitar jam 8.45 pagi hari sama dan membuat laporan polis.
Mahkamah diberitahu bahawa pintu pagar belakang premis telah dipotong dan pintu belakang diumpil. Rakaman CCTV kemudian menunjukkan Ag Ridjan berada di dalam restoran dan mengambil wang tunai pada jam 8.10 pagi.
Pada petang yang sama jam 4.50 petang polis menahan Ag Ridjan di Sembulan Lama. Hasil pemeriksaan badan menemukan barang curi dari restoran tersebut dalam simpanannya yang disahkan oleh pengadu.
Pakaian yang dipakai Ag Ridjan semasa ditahan juga sepadan dengan yang dipakainya dalam rakaman CCTV.
Tanpa diwakili peguam Ag Ridjan memohon hukuman ringan namun TPR Fazriel memohon hukuman berbentuk pengajaran.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan.

