
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dihukum penjara sehari dan didenda RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membenarkan rakannya melupuskan lebih 14 juta unit saham sebuah syarikat pengeluar perabot tempatan dalam akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya, 18 tahun lalu.
Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu ke atas Siow Chung Peng, 52, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan alternatif ketika prosiding perbicaraan peringkat pembelaan yang bermula 2020.
Mahkamah turut memerintahkan Siow menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda.
Selepas menjatuhkan hukuman itu Azman berkata tiga hakim telah mendengar kes itu yang berlangsung lebih 10 tahun selain kesemua eksibit (bukti) yang dikemukakan dalam mahkamah telah dikembalikan kepada pendakwaan.
“Saya berterima kasih kepada pihak pendakwaan dan pembelaan kerana dapat menyelesaikan kes ini dengan memuaskan serta mewujudkan situasi ‘menang-menang’ bagi semua pihak. Saya berharap kes seperti ini tidak berulang,” kata hakim.
Mengikut pertuduhan, Siow didakwa sebagai pemilik benifisal terhadap akaun CDS di OSK Securities Berhad, telah membenarkan Goh Hock Choy, 60, yang bukan nominee (penama) yang diberi kuasa bagi akaun tersebut untuk menjalankan pelupusan 14,683,200 unit syarikat Lii Hen Industries Berhad, di dalam akaun itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Sekuriti Berhad, tingkat 14, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini antara 2 Julai 2004 dan 2 Nov 2004, mengikut Seksyen 29A Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 51 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) Izuddin Mohamad, berkata kedua-dua pihak telah mencapai satu persetujuan berhubung pertuduhan dan hukuman mengikut Seksyen 172C Kanun Prosedur Jenayah (CPC) selepas tertuduh menghantar representasi kepada pihak SC.
“Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara kes ini dan juga status representasi yang telah dihantar tertuduh, oleh demikian kedua-dua pihak telah bersetuju dengan terma-terma mengenai hukuman dan pertuduhan supaya satu akuan dibuat.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan telah menyediakan satu dokuman pelupusan kes yang mengandungi terma-terma yang telah dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya dan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh mengesahkan perkara itu.-Bernama

