Lelaki disyaki bakar kereta isteri ditahan

LocalPolitics
5 Feb 2025 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penumpang kereta bertindak keluar apabila api mula marak.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden membakar kereta milik isterinya di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat pada jam 12.20 tengah malam.

“Bertindak atas maklumat polis menjalankan dua serbuan di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau di sini.

"Hasil serbuan berjaya menahan suspek serta merampas Toyota Vellfire yang digunakan ketika kejadian.

“Mahkamah Majistret turut membenarkan reman selama tujuh hari mulai Rabu hingga Selasa depan terhadap suspek,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 28 saat memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita disimbah petrol dan dibakar oleh suspek.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu sebelum melarikan diri.

Difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga.