Lelaki disyaki proses, jual air ketum di garaj rumah sewa dicekup polis

8 Jun 2026 • 12:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki disyaki proses, jual air ketum di garaj rumah sewa dicekup polis
Garaj sebuah rumah sewa di Tanah Putih di sini dipercayai dijadikan tempat memproses dan menjual air ketum.

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang lelaki menjadikan garaj sebuah rumah sewa di Tanah Putih di sini sebagai tempat memproses dan menjual air ketum mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan pada Jumaat lalu.

Suspek warga tempatan berusia 38 tahun yang tidak bekerja itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara bersendirian sebelum dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hasil maklumat dan risikan.

“Dalam operasi tersebut, kita merampas 270,000 gram daun ketum dan 402.3 liter air ketum yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM27,500," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, hasil semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau yang mana kesemuanya berkaitan dengan kesalahan dadah.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga esok bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Ashari berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Beliau menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.