Seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia diberkas polis Thailand selepas disyaki merompak sebuah kedai emas di Hat Yai, Songkhla, membabitkan kerugian sekitar RM1.17 juta. Suspek berusia 61 tahun itu ditahan ketika turun dari bas di Terminal Bas Selatan, Bangkok, pada Rabu.
Menurut Kolonel Polis Anusorn Thongsai, suspek dipercayai melarikan diri dari Hat Yai menaiki bas ke Bangkok, sebelum cuba ke rumah anaknya di Nonthaburi. Polis berjaya menahannya pada jam 6.30 petang bersama 69 utas rantai emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup.
Rompakan berlaku pada jam 11.55 pagi Selasa lalu di kedai emas Thai Udom 2, Jalan Montri 1, Hat Yai. Suspek bertopeng dan bersenjata api, melarikan emas seberat 2.25 kilogram sebelum meloloskan diri dengan motosikal.
Pihak berkuasa mengenal pasti suspek sebagai Yee Boon Long yang pernah menggunakan identiti palsu rakyat Thailand, iaitu Anucha Saeyeoh. Dia didapati membeli kad pengenalan Thai palsu di Chiang Mai pada harga 250,000 baht (sekitar RM32,800) untuk menyembunyikan identiti sebenarnya.
- MB Terengganu dakwa pergerakan dipantau, telefon dipintas pihak berkuasa
- Trump ‘U-Turn’ tarif import, China tetap jadi sasaran
- ‘Tiru bulat-bulat gaya Cik Epal?’ – Netizen pertikai penampilan isteri baru Jofliam
- Dr Asyraf Wajdi gesa pelajar MRSM laporkan terus isu buli
- Kunjungan raya keluarga mendiang pelakon Ramasundran curi tumpuan
Selepas insiden rompakan, waran tangkap segera dikeluarkan dan kawalan sempadan diperketatkan. Komisioner Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chaloemsri turut menawarkan ganjaran 100,000 baht (RM13,118) kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai suspek.
Lebih mengejutkan, polis turut mendedahkan bahawa Yee mempunyai sejarah jenayah lampau yang serius. Dia pernah merompak kedai emas di Hat Yai pada 2017 dan baru dibebaskan dari penjara setahun setengah lalu. Malah, dia disyaki terlibat dalam kes pembunuhan dua beradik warga Thailand di Songkhla pada 2014.
Di Malaysia, suspek pernah dikaitkan dengan rompakan emas bernilai RM6.6 juta di Butterworth sekitar 20 tahun lalu. Dia juga dipercayai terlibat sebagai pembunuh upahan yang mempunyai lebih 10 mangsa.
Suspek kini direman dan akan didakwa di Thailand, manakala pihak berkuasa Malaysia dijangka turut menyiasat semula kes-kes yang berkaitan.
The post Lelaki disyaki rakyat Malaysia rompak emas RM1.17 juta di Hat Yai appeared first on The Reporter.

