Lelaki ditahan bersama 243kg daun ketum

30 Nov 2022 • 2:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 243 bungkusan dipercayai daun ketum ditemui pada sebuah kereta jenis Proton Perdana pada Selasa. - Foto ihsan PDRM

image is not available
Bungkusan daun ketum yang disembunyikan dalam kenderaan terbabit. - Foto ihsan PDRM

BENTONG - Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 243 kilogram daun ketum bernilai RM5,751 di di Kilometer (KM) 63, Lebuhraya Karak arah Barat di sini, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kenderaan jenis Proton Perdana milik suspek berusia 44 tahun itu ditahan anggota polis peronda kira-kira jam 3 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta berkenaan menjumpai sejumlah 243 bungkusan plastik dipercayai daun ketum dianggarkan seberat 243 kilogram.

"Hasil siasatan awal, daun ketum tersebut dibeli suspek di Pendang, Kedah untuk dijual kepada pembeli yang membuat pesanan di Temerloh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, suspek telah membeli satu bungkusan yang mengandungi satu kilogram daun ketum dengan harga RM10 dan kemudian akan menjual semula kepada pelanggan dengan harga RM17.

Siasatan itu juga mendapati suspek pernah beberapa kali melakukan penghantaran ke kawasan pantai timur sebelum ini.

"Suspek ditahan reman empat hari bermula Selasa sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," ujar Zaiham.