Lelaki ditahan disyaki terlibat samun bersenjata di Kuala Kangsar

14 Oct 2022 • 4:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis berjaya menahan seorang lelaki hari ini, yang melarikan diri selepas dipercayai melakukan samun bersenjata ke atas seorang wanita di bandar Kuala Kangsar semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata lelaki itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sekitar bandar itu pada 7.30 pagi tadi.

“Hasil penahanan, polis menjumpai sejumlah barangan yang mempunyai kaitan dengan kes samun bersenjata itu dan suspek juga didapati menggunakan motosikal bernombor pendaftaran palsu,“ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata lelaki itu direman hingga 19 Okt ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Menurut Omar Bakhtiar hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod jenayah termasuk dadah dan polis percaya dia turut mempunyai kaitan dengan satu kes cubaan samun yang tular menerusi media sosial sebelum ini.

“Kita telah berjaya mengesan dan memanggil mangsa dalam video yang tular sebelum ini bagi tujuan siasatan lanjut,“ katanya.

Dalam kejadian semalam, seorang wanita tempatan kerugian RM4,000 selepas disamun menggunakan senjata dan kejadian itu tular menerusi media sosial.-Bernama