
TAWAU: Seorang lelaki yang mengaku menggunakan Mykad orang lain sebagai dokumen pengenalan diri bagi mengelak dikesan sebagai warga asing, ditahan polis di kawasan Batu 5, Jalan Apas pada Isnin, petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek itu ditangkap sekitar hjam 2.45 petang semasa rondaan cegah jenayah kerana tindak-tanduk mencurigakan.
Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Strike Team Balai Polis Tawau menghampiri suspek, 20an, dan lelaki tersebut menyerahkan sekeping Mykad yang bukan miliknya semasa pemerikaan dijalankan ke atasnya.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bahawa MyKad yang diserahkan itu bukan miliknya dan dia hanya menggunakannya sebagai dokumen pengenalan diri bagi mengelak dikesan sebagai warga asing,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Jasmin berkata, semakan melalui sistem Integraed Police Reporting System (IPRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati MyKad yang digunakan suspek adalah dokumen yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kota Kinabalu.
Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Jasmin menegaskan bahawa polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menggunakan dokumen palsu atau milik orang lain untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.


