Kisah ini sebenarnya berlaku pada tahun 2019, namun kembali menarik perhatian ramai kerana kelucuannya. Seorang lelaki berusia 27 tahun dari Afrika Selatan berjaya makan secara percuma di KFC selama lebih setahun dengan mendakwa dia dihantar oleh ibu pejabat untuk memeriksa kualiti makanan.
Lelaki tersebut, seorang pelajar Universiti KwaZulu Natal, berjaya memperdaya pekerja KFC di Durban, Afrika Selatan, dengan menyamar sebagai pegawai pemeriksaan kualiti dari ibu pejabat KFC. Dia dilaporkan sangat meyakinkan sehingga pekerja hanya menyedari penipuannya hampir dua tahun kemudian.
“Setiap kali dia datang, kami cuba memberikan layanan terbaik supaya tidak mengecewakan ‘orang dari ibu pejabat’. Dia sangat menyakinkan, dan malah pekerja di cawangan lain juga mengenalinya,” kata salah seorang pekerja.
Lelaki ini akan tiba dengan limosin yang dipandu oleh rakannya, berpakaian kemas, dan memakai tanda nama bertulis “ibu pejabat”. Kehadirannya membuatkan pekerja KFC memenuhi segala permintaannya tanpa sebarang syak wasangka.
“Dia akan terus ke dapur, memeriksa keadaan sambil mencatat nota, kemudian meminta sampel makanan apa saja yang dia mahu. Dia mungkin pernah bekerja di KFC sebelum ini kerana dia tahu segalanya,” tambah pekerja tersebut.
Walaupun kisah ini berlaku beberapa tahun lalu, ia kembali tular di media sosial dan terus menghiburkan ramai kerana keberanian lelaki tersebut serta cara kreatifnya memanipulasi keadaan. – Agensi
The post Lelaki ditangkap selepas makan secara percuma di KFC selama lebih setahun appeared first on The Reporter.





