Lelaki Ditembak Depan Bengkel, Mangsa Miliki Rekod Jenayah

18 Sep 2023 • 11:05 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah bengkel di Jalan Hutan Kuin, Machang, Kota Bharu kira-kira pada 5.30 petang, semalam.

image is not available

Melalui laporan awal, mangsa yang berusia 37 tahun meninggal dunia di tempat duduk pemandu sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton itu mempunyai rekod masa lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata siasatan awal mendapati suspek kejadian tersebut merupakan dua orang lelaki yang tidak dikenali dan menaiki kereta jenis Honda berwarna putih.

“Berdasarkan maklumat awal, suspek adalah dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta Honda berwarna putih melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pemandu yang berada di dalam pacuan empat roda.

image is not available

“Mangsa yang berada di bahagian pemandu meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Saksi kejadian, Mohd. Zulkarnain Abdullah, 27, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdengar tiga das tembakan secara berturut-turut.

Dia bergegas keluar dan mendapati dua buah kereta memecut laju selepas bunyi tembakan tersebut sebelum melihat ke dalam Mitsubishi Triton itu dan mendapati terdapat seorang lelaki berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

image is not available

Menurut Zulkarnain, orang awam yang turut menyedari kejadian tersebut terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

image is not available

Dimaklumkan, mangsa yang juga merupakan seorang peniaga tinggal di Pasir Puteh dan telah datang ke Machang untuk membeli alat ganti kenderaan.

Sumber: Harian Metro (Nor Fazlina Abdul Rahim), Kosmo (Muhammad Aiman Ghaffa)