Lelaki Ditemui Maut, Terperangkap Dalam Peti Sejuk Ketika Bersembunyi Dari Polis

11 Jul 2023 • 8:40 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lelaki Ditemui Maut, Terperangkap Dalam Peti Sejuk Ketika Bersembunyi Dari Polis

Seorang lelaki di Minnesota ditemui maut terperangkap dalam peti sejuk di sebuah rumah kosong gara-gara menyembunyikan diri dari pihak berkuasa, lapor Mirror.

Polis mendedahkan bahawa lelaki tersebut bertindak menggunakan peti sejuk berkenaan untuk bersembunyi semasa polis sedang mencarinya.

Menurut Jabatan Polis Gilbert Minnesota, lelaki berusia 34 tahun itu ditemui di dalam peti sejuk di ruang bawah tanah sebuah rumah tidak berpenghuni pada 26 Jun yang lalu.

Lelaki dari Babbit itu dikatakan mempunyai waran aktif bagi proses penangkapannya. Dia dipercayai telah terperangkap dalam peti tersebut selepas memanjat ke dalamnya untuk menyorok.

Saksi mengesahkan dengan pihak berkuasa bahawa kali terakhir mereka melihat lelaki tersebut melarikan diri ke bahagian atas rumah berkenaan. Dia dipercayai bertindak sedemikian selepas mengetahui tentang kehadiran polis di kawasan tersebut.

Peti sejuk itu tidak boleh dibuka dari dalam

Menurut polis, peti sejuk yang dimasuki oleh lelaki itu adalah model lama di mana penyelaknya berada di bahagian luar peranti tersebut. Apabila ditutup, peti sejuk beku itu tidak akan boleh dibuka dari dalam.

Sewaktu penemuan lelaki itu, utiliti di kediaman itu tidak dihidupkan ekoran sudah tidak digunakan sejak April 2022 lalu. Tiada sesiapa yang tinggal di rumah berkenaan sejak Februari 2023.

image is not available
Kredit Fox21

Siasatan awal mendapati bahawa lelaki itu memasuki peti sejuk berkenaan dengan kerelaan dirinya sendiri.

Polis juga telah menemui batang besi di dalam peti sejuk berkenaan dan digunakan oleh lelaki itu dari dalam peti sejuk ke arah mekanisme penyelak.

“Rod itu tersekat di antara gasket dan bucu yang menghalang rod besi daripada mencapai mekanisme penyelak dari dalam,” kongsi polis dalam satu kenyataan.

Semasa menjalankan bedah siasat, pemeriksaan perubatan tidak menemui sebarang bukti trauma atau kecederaan. Laporan toksikologi terhadap mayat lelaki itu akan dijalankan pada minggu hadapan.

Dalam pada itu, penyiasat masih lagi berusaha untuk menentukan bila hari dan waktu kematian lelaki tersebut.

Sumber: Mirror