Lelaki ditemukan lemas selepas keluar cari ikan di Sungai Semantan

19 Feb 2024 • 11:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat mangsa ditemui pada jam 4.10 petang pada Isnin dan dibawa ke HoSHAS untuk bedah siasat. Foto Ihsan PDRM

image is not available
SAR bersama pelbagai agensi dan orang awam di lokasi kejadian. Foto Ihsan PDRM

TEMERLOH - Seorang lelaki yang disyaki terjatuh ke dalam Sungai Semantan di Kampung Kuala Kaung, Lanchang di sini ketika mencari ikan pada Ahad ditemukan lemas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, mangsa berusia 57 tahun itu ditemukan pada jam 4.10 petang iaitu tiga kilometer Dari tempat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka.

Menurutnya, anak perempuan mangsa berusia 18 tahun memberitahu, dia menemui ayahnya kali terakhir kira-kira jam 6 petang sebelum keluar ke sungai untuk mencari ikan.

"Keesokan harinya, anak mangsa bersama ahli keluarga lain ke tempat mangsa selalu mencari ikan dan menemui motosikal serta selipar milik ayahnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, anak mangsa cuba mencari di sungai dan mendapati bot milik ayahnya telah terbalik di tebing sungai.

"Seterusnya laporan polis dibuat kira-kira jam 12.42 tengah hari pada Isnin sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pada jam 2 petang dengan kekuatan 38 anggota terdiri pihak polis,bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),Rela dan orang awam bersama lapan bot.

"Mayat mangsa kemudiannya ditemui dan dibawa naik ke darat pada jam 5 petang untuk dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat," tambahnya operasi ditamatkan pada jam 6 petang.