Lelaki edar dadah, sebabkan kematian dua wanita berdepan hukuman mati

LocalPolitics
18 Jun 2025 • 11:56 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pegawai khidmat pelanggan mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu atas empat pertuduhan, iaitu memiliki dan mengedar dadah serta memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua wanita di lampu isyarat di sini.

image is not available
Turut kelihatan, kedua-dua waris keluarga mangsa.

TEMERLOH – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh pada Rabu atas empat pertuduhan, iaitu memiliki dan mengedar dadah serta memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua wanita di lampu isyarat di sini.

Tertuduh, Chun Kok Keong, 38, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Tan Chiew King selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis heroin seberat kira-kira 0.85 gram di hadapan lobi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada jam 12.30 tengah malam, 12 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 1998) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 50.85 gram di lokasi dan waktu yang sama.

**media[3169599]**

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup berserta maksimum 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adriana Azrin dan Siti Sarah Aqilah Lokman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Fatimah Mohd Shahril.

Dalam rayuan, Siti Fatimah memaklumkan bahawa tertuduh masih bujang dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang uzur, dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan memiliki dadah, namun tiada jaminan dibenarkan bagi pertuduhan mengedar dadah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September depan bagi menunggu laporan kimia dan pelantikan peguam.

Sementara itu, di mahkamah sama, Kok Keong turut didakwa melakukan kesalahan pada 11 Jun lalu kira-kira jam 10.50 malam di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, di sini, apabila didapati memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua wanita, Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 keseluruhan dengan seorang penjamin, serta menggantung lesen memandu tertuduh bermula Selasa sehingga kes selesai.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Julai depan bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.

Di luar mahkamah, turut kelihatan waris keluarga kedua-dua mangsa yang hadir mengikuti prosiding.

Sebelum ini, kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh kereta dipandu tertuduh ketika sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail.