
Lelaki Ini Alami Perubahan Darah Yang Mengejutkan
Lelaki Ini Terkejut Darah Bertukar Hijau Akibat Minum Alkohol Berlebihan. Seorang lelaki berumur 36 tahun dari Shenzhen, China, mengalami kejadian yang mengejutkan apabila darahnya bertukar warna hijau.
Chen, yang telah mengamalkan tabiat meminum arak hampir setiap hari selama bertahun-tahun, mula mengalami gejala seperti hilang selera makan, kulit dan mata yang menguning, loya, muntah-muntah, dan kesukaran bernafas.

Lelaki ini hampir maut akibat gaya hidup
Setelah berjumpa doktor, ujian air kencing menunjukkan tahap keton yang tinggi, mencetuskan kecurigaan bahawa Chen menghidap ketoasidosis diabetik, satu komplikasi serius diabetes. Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah darahnya yang berwarna hijau dan bertekstur seperti susu.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa keadaan ini berpunca daripada kerosakan hati yang teruk akibat pengambilan arak berlebihan dan tahap lemak darah yang sangat tinggi. Pundi hempedu Chen juga mengalami radang yang teruk, manakala tahap kolesterolnya 10 kali ganda melebihi paras normal.
Akhirnya, Chen didiagnosis dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk hepatitis jaundis akut, penyakit hati akibat alkohol, ketoasidosis diabetik, dan hiperlipidemia. Pakar perubatan menegaskan bahawa pengesanan awal diabetes Chen telah menyelamatkannya daripada risiko serangan jantung, strok, dan penyakit maut yang lain.


