Lelaki jadi punca penerbangan MH122 berpatah balik didakwa hari ini

15 Aug 2023 • 11:05 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SYDNEY, 15 OGOS: Lelaki berusia 45 tahun didakwa hari ini selepas mengganggu penerbangan antarabangsa dari Australia ke Malaysia.

Menurut kenyataan dikeluarkan Polis Persekutuan Australia (AFP), lelaki berasal dari Canberra itu berdepan pertuduhan kerana membuat kenyataan palsu mengenai ugutan untuk merosakkan pesawat Divisyen 3 dan gagal mematuhi arahan keselamatan kru kabin, lapor Xinhua.

Jika sabit kesalahan masing-masing boleh membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda melebihi 15,000 dolar Australia (kira-kira AS$9,727).

Lelaki itu dijangka tampil di Mahkamah Tempatan Pusat Downing hari ini.

Penerbangan Malaysia Airlines berlepas dari Sydney pada 1 tengah hari waktu tempatan menuju ke Kuala Lumpur pada Isnin tetapi terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney pada 3.45 petang waktu tempatan.

“Semasa penerbangan, penumpang lelaki itu didakwa mencetuskan gangguan dan mendakwa membawa bahan letupan. AFP menahan lelaki itu tanpa sebarang insiden,” menurut polis persekutuan.

– BERNAMA-XINHUA