Lelaki Kongsi Situasi Sebenar Selepas Tular Kisah Hidup Tanpa Bekalan Elektrik Selama 13 Tahun

Local
22 May 2026 • 11:10 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Lelaki Kongsi Situasi Sebenar Selepas Tular Kisah Hidup Tanpa Bekalan Elektrik Selama 13 Tahun

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, tular di media sosial perkongsian seorang lelaki, Muhammad Ramadhan Abd yang berjaya mendapat bekalan elektrik setelah setelah tinggal selama 13 tahun tanpa bekalan terbabit.

Ia susulan tindakannya menahan konvoi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang lalu di hadapan sebuah warung di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Kisah tersebut nyata mendapat perhatian hingga ada yang bersimpati dengan nasib Ramadhan yang didakwa menunggu permohonan bekalan elektrik selama 13 tahun.

Lelaki Kongsi Situasi Sebenar, Bukan Tunggu Permohonan Selama 13 Tahun

Kongsi Ramadhan yang merupakan seorang mekanik, dia hanya memohon sambungan bekalan elektrik pada Oktober tahun lalu.

Jelasnya, timbul kekeliruan apabila ada warganet yang tersalah tafsir situasi sebenar selepas tular video dia menahan konvoi Al-Sultan Abdullah pada 17 Mei lalu yang mencemar duli menghadiri sebuah program 3 hari 2 malam di kampung orang asli.

Terang lelaki yang berusia 30 tahun itu, dia bukan menunggu permohonan elektrik selama 13 tahun namun tinggal di kawasan terbabit tanpa kemudahan bekalan sepanjang tempoh tersebut.

Tanah Diduduki Milik Kerajaan, Harap Orang Ramai Tak Salah Tafsir

Jelas Ramadhan, dia dan keluarga kini telah berpindah ke rumah yang dibinanya sendiri sejak Januari 2024 di pinggir Kampung Kuala Sat.

“Saya hanya memuat naik video dan gambar ketika bertemu Sultan Pahang di TikTok, namun ia kemudian dikongsi pengguna media sosial lain dengan kapsyen yang mengelirukan sedangkan saya tidak menulis sebarang kapsyen.

“Sebenarnya saya memuat naik video itu pada Selasa (19 Mei) lalu kerana berasa lega dan gembira apabila isu ini akhirnya mendapat perhatian dan diselesaikan.

“Saya harap orang ramai tidak salah faham mengenai keadaan saya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Sebelum ini, Ramadhan bersama isteri serta anak lelaki mereka yang berusia lima tahun tinggal di rumah ibu bapanya yang terletak kira-kira 100 meter dari kediaman yang didiaminya sekarang.

Rumah kayu yang kini hanya diduduki oleh kedua-dua ibu bapanya mula didiami pada tahun 2014.

Terang Ramadhan, mereka sekeluarga turut memohon hak milik tanah daripada Pejabat Daerah dan Tanah Jerantut pada Julai 2015 memandangkan tanah yang diduduki pada ketika ini adalah hak milik kerajaan namun tiada maklum balas.

“Selain rumah ibu bapa dan adik perempuan saya, rumah sepupu yang terletak berhampiran juga belum mempunyai bekalan elektrik.

“Keempat-empat rumah termasuk rumah saya bergantung kepada panel solar yang disambungkan kepada bateri lori untuk mendapatkan bekalan elektrik,” ujarnya.

Tiada Barangan Elektrik Kecuali Pengecas Telefon

Kongsi Ramadhan yang mengusahakan bengkel motosikal di rumahnya, mereka sekeluarga tidak mempunyai barangan elektrik selain pengecas telefon.

“Kuasa tenaga dijana daripada bateri lori digunakan terutamanya untuk pencahayaan dan mengecas telefon bimbit

“Keluarga saya juga tidak mempunyai bekalan air paip dan bergantung kepada air bukit untuk kegunaan harian termasuk mandi dan membasuh pakaian,” katanya.

Syukur Dapat Bekalan Elektrik, Mohon Orang Ramai Tak Salah Tafsir

Ramadhan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan turut menjelaskan dia telah mengemukakan permohonan bekalan elektrik melalui seorang kontraktor pada Oktober tahun lalu.

Namun, perkembangan positif tentang perkara itu hanya diperolehi setelah dia menahan dan berjumpa dengan Al-Sultan Abdullah.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Sultan Pahang, TNB serta semua pihak yang membantu mempercepatkan proses mendapatkan bekalan elektrik.

“Saya merayu orang ramai supaya tidak salah tafsir video saya kerana saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Pada hari saya bertemu Tuanku ketika baginda dalam perjalanan ke Kampung Pagi, saya mula menunggu di tepi jalan jam 6.30 pagi sebelum konvoi melalui kawasan itu sekitar jam 10 pagi.

“Pada mulanya saya fikir Tuanku akan marah kerana saya menahan konvoi, namun baginda sudi mendengar penjelasan saya dan memberi jaminan akan membantu selepas saya menyerahkan surat berkaitan masalah dihadapi,” jelasnya.

Sewaktu pertemuan tersebut, Ramadhan turut menghadiahkan sebotol madu kelulut yang dikutipnya kepada baginda.

Terangnya lagi, kakitangan TNB terus menghubunginya sejam selepas konvoi diraja beredar bagi mendapatkan beberapa maklumat sebelum datang ke rumahnya dan membuat kerja pemasangan tiang elektrik.

Isu Pemilikan Tanah Punca Keluarga 13 Tahun Hidup Tanpa Elektrik – ADUN Pahang

Memetik Kosmo, Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan Kerajaan Negeri, Haris Salleh Hamzah menjelaskan kelewatan proses sambungan bekalan elektrik berlaku berikutan wujud isu pemilikan tanah yang diduduki memandangkan status tanah tersebut adalah milik kerajaan.

“Isu utama bukan soal tiada tindakan, tetapi melibatkan kekangan teknikal dan prosedur kerana rumah tersebut dibina di atas tanah kerajaan.

“Disebabkan status itu, beberapa urusan termasuk penyambungan utiliti tidak dapat dilaksanakan serta-merta mengikut prosedur sedia ada,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, UMNO Bahagian Jerantut bersama Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut serta pihak berkaitan akan mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap status tanah berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan: Gempa Bumi Segamat: Sultan Pahang Titah Semua Masjid & Surau Di Pahang Buat Solat Hajat Tolak Bala

Baca Artikel Berkaitan: Peristiwa 3 Ogos 1996, Seluruh Semenanjung Malaysia Terputus Bekalan Elektrik

View Original Article