Lelaki kurang siuman ditahan ganggu pekerja premis

9 Apr 2025 • 3:14 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: R Gonzales

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang didakwa mengalami masalah mental ditahan sepasukan polis selepas bertindak mengganggu pekerja di beberapa premis di sekitar pekan Kota Belud, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Superintendan Shahruddin Mat Husain berkata pihak polis melihat satu video tular mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang memasuki premis menjual cermin mata dan klinik komuniti.

Katanya, polis bergerak ke lokasi pada jam 4 petang untuk menahan suspek dan menghantarnya ke hospital Kota Belud untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut, suspek merupakan pesakit mental berusia 38 tahun yang menerima rawatan psikiatri di hospital berkenaan.

“Suspek juga tidak mempunyai tempat tinggal dan hidup gelandangan di kawasan pekan Kota Belud,” katanya.

Menurutnya, suspek itu akan dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu hari ini untuk menerima rawatan lanjut.

“Pihak polis menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat”.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian atau ahli keluarga suspek, orang awam boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di 088-976600 atau 019-2188334,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 1 minit 8 saat dipercayai berlaku di premis Klinik Komuniti Kota Belud menunjukkan suspek yang dikatakan memasuki premis melalui pintu utama lalu bertindak menyelongkar barangan di dalam premis berkenaan.

Suspek turut bertindak menaiki kerusi dan cuba mematikan suis utama premis sebelum beredar sambil mengeluarkan kata-kata yang tidak jelas.