Lelaki maut akibat rabies selepas beri anjing roti

LocalHealth & Fitness
28 Sep 2026 • 3:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki maut akibat rabies selepas beri anjing roti

KUBANG PASU: Lelaki yang dilaporkan meninggal dunia akibat rabies, semalam dikatakan memberi makan kepada seekor anjing terbiar sebelum haiwan itu menggigit mangsa berdekatan Pasar Tani Kekal Changlun, di sini.

Mangsa, Allahyarham Nik Muhamad Adha Nik Zulkifli, 31, dipercayai digigit pada tangan selepas dia pergi ke pasar tersebut untuk menghantar barang kepada isterinya yang berniaga sayur di situ.

Menurut seorang peniaga pasar tani, Jamaliah Abdullah, 65, seekor anjing terbiar datang ke kawasan berdekatan sebelum disedari mangsa.

“Waktu itu hujan renyai dan mungkin anjing itu datang ke kawasan ini selepas dihalau peniaga lain. Saya difahamkan, mangsa mahu ke tempat kerja tetapi ternampak anjing itu dalam keadaan lapar.

“Mangsa sempat membeli roti untuk diberikan kepada anjing itu dan kami difahamkan yang dia memang seorang yang sayangkan haiwan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham Nik Muhamad Adha selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Setol, di sini malam tadi.

Jamaliah berkata, anjing tersebut menggigit tangan lelaki itu sehingga berdarah sebelum mangsa segera ke gerai isterinya untuk meminta bantuan.

“Saya ada nasihatkan dia supaya pergi klinik segera dan tak sangka semalam dapat berita dia meninggal dunia, memang terkejut,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Halim Saidin, 77, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu terdapat kes orang digigit anjing berdekatan pasar tani berkenaan kerana tidak pernah nampak anjing terbiar sejak 40 tahun berniaga di situ.

Sementara itu, Pengurus Pasar Tani Kekal Changlun, Azize Yusoff berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira 60 meter dari kawasan pasar tani berkenaan.

Terdahulu, akhbar melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada bulan lalu disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies pada semalam.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, ia merupakan kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri itu sejak 1998. – UTUSAN

The post Lelaki maut akibat rabies selepas beri anjing roti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved