
KEMAMAN - Hasrat sepasang kekasih untuk mengikat tali pertunangan musnah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 105, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berdekatan Terminal Minyak Mentah (TCOT) dekat Kerteh pada malam Sabtu.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Alif Hafizzudin Samsul yang beralamat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, maut di lokasi kejadian sementara bakal tunangnya, Nuralifah Ilyana Azman, 21, dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun parah dan dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa ketika itu dalam perjalanan menghantar bakal tunangnya pulang ke Kampung Seberang Pintasan di Dungun selepas selesai membeli cincin pertunangan di Kemaman.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Dungun ke Kemaman dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan menyebabkan kereta yang dipandu mangsa gagal mengelak lalu bertembung dengan MPV terbabit.
"Akibat kemalangan itu kereta dipandu mangsa remuk dan terbalik," katanya.
Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.
Jelas beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

