
MUADZAM SHAH - Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan lori dan sebuah kereta di Kilometer 125, Lebuhraya Kuantan-Segamat, dekat Bandar Muadzam Shah pada Khamis.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pemandu Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori mengalami kecederaan.
Menurutnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah segera dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut.
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan.
"Operasi penyelamatan dilakukan dengan menggunakan peralatan rescue tool bagi mengeluarkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang berjaya dikeluarkan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Pemandu lori yang cedera menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

