
KINABATANGAN - Seorang lelaki maut dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai di kawasan ladang Pontion Subok, Sukau, di sini pada Sabtu.
Mayat Firman Irwan, 24, ditemukan orang awam sejauh kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya pada jam 2.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan pada jam 1.32 petang.
Menurutnya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 73 kilometer dari BBP Kinabatangan.
"IPD Kinabatangan memaklumkan terdapat seorang mangsa dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai di ladang tersebut.
"Pasukan bomba ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun tidak lama kemudian, mangsa dilaporkan berjaya ditemui dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.33 petang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
