Lelaki maut dirempuh kereta ketika bantu mangsa kemalangan

17 Feb 2025 • 8:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta yang terbabas ke dalam longkang di tempat kejadian.

BENTONG - Niat seorang lelaki membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi apabila maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer (KM) 69.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur hala Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, mangsa meninggal dunia pada jam 7 petang hari sama semasa menerima rawatan di Hospital Bentong.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 5.30 petang.

"Siasatan awal mendapati sebuah kereta dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kuala Lumpur

"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu telah terbabas dan masuk ke dalam longkang," katanya.

Ujarnya, beberapa pemandu kenderaan yang lalu di kawasan tersebut telah berhenti dan membantu kereta yang terbabas.

Jelasnya, semasa sedang mengawal lalu lintas, salah sebuah kereta hilang kawalan lalu merempuh dua mangsa di tempat kejadian.

"Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan. Salah seorang mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan," jelasnya lagi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

"Kita juga ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika membantu mangsa kemalangan.

"Hubungi pihak konsesi lebuh raya atau talian kecemasan sekiranya terbabit terbabit atau melihat kemalangan," tambahnya.