
PETALING JAYA - Seorang lelaki maut dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah unit apartment di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, laporan berkaitan kejadian diterima pihaknya kira-kira jam 1 pagi Ahad.
"Laporan dibuat individu dipercayai jiran mangsa yang sebelum itu mendengar pergaduhan di kediaman dihuni mangsa.
"Kira-kira jam 11 malam, individu terbabit mendakwa tidak melihat mangsa keluar dari rumah tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan di lokasi kemudiannya menemukan mangsa yang telah meninggal dunia.
"Siasatan mendapati mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 36 tahun itu disyaki meninggal dunia akibat kecederaan tikaman.
"Mangsa dipercayai dibunuh oleh seseorang yang masih belum dapat dikenal pasti," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

