Lelaki maut kereta hilang kawalan, rempuh dua kenderaan parkir

LocalCars
29 Jun 2025 • 10:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya merempuh dua lagi kenderaan di Felda Bukit Aping Barat. Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya hilang kawalan sebelum merempuh dua lagi kenderaan termasuk sebuah van yang diparkir di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat, pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, maklumat mengenai kemalangan itu diterima daripada orang awam kira-kira jam 10.25 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan melanggar dua kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah iaitu sebuah Proton Wira dan sebuah van Toyota Hiace.

“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu Proton Saga berusia 46 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan lebih berwaspada ketika memandu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan,” katanya.