Lelaki maut, kereta langgar bas ekspres

18 Jun 2024 • 3:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 155.9 Lebuhraya Utara Selatan, berhampiran Sungai Bakap di sini awal pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 4.36 pagi dan terus ke lokasi kejadian.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Gen 2 yang dinaiki dua lelaki itu telah melanggar belakang bas ekspres terbabit sehingga menyebabkan penumpang hadapan telah tersepit dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan lelaki berusia 30 tahun itu.

“Pemandu berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka, manakala pemandu dan semua penumpang bas ekspres itu tidak mengalami sebarang kecederaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat lelaki itu dihantar ke hospital untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta yang cedera turut dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.