TAWAU: Seorang lelaki maut apabila kenderaan jenis Proton Persona yang dipandunya terbabas sendiri lalu melanggar penghadang jalan di KM26 Jalan Merotai – Bombalai, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 26 tahun itu tersepit di dalam keretanya sebelum dikeluarkan bomba.
Menurutnya, polis menerima maklumat insiden itu jam 5.30 pagi dan siasatan awal di lokasi mendapati, mangsa bergerak dari arah bandar Tawau menuju ke Merotai.
“Mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan turut tersepit di dalam keretanya.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan luaran di kaki dan tangan kiri, manakala, keretanya rosak teruk di bahagian hadapan,” katanya lagi.
Jasmin berkata, proses bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat keputusan ujian Covid19.
Tambahnya, polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggotanya dikerah ke lokasi bersama dua jentera selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.11 pagi menerusi MERS 999.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi sejauh 32 kilometer dari BBP Tawau, pihaknya mendapati seorang mangsa lelaki dewasa tersepit di dalam kenderaan terlibat.
“Pasukan kita bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat… Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya.
Operasi tamat jam 5.50 pagi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
