SANDAKAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Leila di sini pada tengah malam Khamis.
Dalam kejadian jam 12.10 malam itu, mangsa yang juga warga tempatan berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan melibatkan motosikal dan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.
"Ketika kejadian, motosikal tersebut telah bertembung dengan pacuan empat roda yang sedang membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Leila.
**media[3453723]**
"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk dibedah siasat.
"Sementara itu, pemandu bersama dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, George berkata, pemandu pacuan empat roda yang berusia 31 tahun ditahan itu telah ditahan dan akan direman untuk siasatan lanjut.
"Kedua-dua kenderaan juga ditahan untuk pemeriksaan lanjut termasuk ujian Puspakom dan kimia.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
George dalam pada itu turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati dan patuhi had laju, papan tanda, lampu isyarat serta menjaga jarak selamat sepanjang pemanduan.
"Pengguna jalan raya juga harus memberi perhatian lebih ketika melalui persimpangan, lokasi pusingan U dan bulatan atau ketika cuaca buruk bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.


