Lelaki maut nahas libat tiga kenderaan

18 Jan 2023 • 11:22 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan di Kampung Kecil, Bukit Kepong menghala ke Labis pada malam Selasa.

MUAR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Kampung Kecil, Bukit Kepong menghala ke Labis, dekat sini pada malam Selasa.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razif Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tersebut pada jam 8.54 malam.

"Susulan itu seramai tujuh anggota dibantu sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Isuzu 5 tan yang membawa muatan ayam, sebuah kereta Perodua Myvi dan kereta Honda Jazz.

"Seorang mangsa iaitu lelaki berusia 49 tahun dalam Honda Jazz tersepit di bahagian pemandu dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 10.03 malam," katanya.