KOTA KINABALU - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori kontena dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam, di sini pada malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa yang belum diketahui identitinya maut di lokasi manakala lelaki parah berusia 41 tahun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.37 malam.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Lintas.
"Kemalangan melibatkan dua kenderaan, iaitu sebuah lori kontena dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Axia hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang lori kontena tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Noor Sherriyana berkata, dua mangsa tersepit dalam Perodua Axia dan pasukannya berjaya mengeluarkan kedua-duanya.
"Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa kedua dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu lori kontena dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan pada jam 12.50 tengah malam.


