Lelaki maut serang polis dengan parang

24 May 2023 • 3:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

BAGAN DATUK - Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena tembakan selepas bertindak agresif menyerang anggota polis dengan parang dalam kejadian di Hutan Melintang di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berlaku apabila suspek enggan memberi kerjasama dengan pihak polis selain menjadikan ibunya sebagai tebusan dalam usaha melepaskan diri.

Difahamkan, usaha polis memujuk suspek yang juga penagih dadah itu turut gagal apabila suspek bertindak mengacukan parang pada leher ibunya dan menghayun parang kepada pasukan polis.

Suspek tidak menghiraukan amaran yang diberikan menyebabkan pasukan itu terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

Suspek yang cedera parah bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media berhubung kejadian itu akan dikongsikan dalam masa terdekat.