KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas terjun dari sebuah jejambat ketika cuba melarikan diri daripada polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang menjalankan tugas pencegahan jenayah dan pemeriksaan kenderaan mengarahkan sebuah kenderaan berhenti untuk diperiksa.
Bagaimanapun katanya, pemandunya bertindak memecut dan melarikan diri sebelum pihak polis mengejar kenderaan tersebut.
"Kenderaan itu akhirnya berjaya diberhentikan di kawasan Pantai Sentral selepas melalui beberapa lokasi di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
"Polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat terjun dari jejambat ketika cuba melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barangan yang dipercayai berkaitan aktiviti jenayah curi dan penyalahgunaan dadah, yang kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut.
Katanya, semakan turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.
"Malah, seorang daripada mereka dikehendaki polis kerana kesalahan berkaitan dadah," katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut berkongsi detik beliau menyaksikan sendiri operasi polis mengejar suspek berkenaan ketika dalam perjalanan ke Pantai Dalam.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram beliau pada Khamis, Fahmi berkata, pada mulanya beliau menyangka insiden itu adalah satu kemalangan jalan raya sebelum menyedari ia merupakan operasi pihak polis.
**media[3562146]**
"Dalam perjalanan ke Pantai Dalam tadi, saya menyaksikan satu kejadian. Mula-mula saya ingatkan kemalangan, tapi rupanya operasi pihak polis mengejar suspek kes dadah," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, polis berjaya menahan beberapa suspek yang cuba melarikan diri.
"Syabas dan terima kasih kepada pasukan Polis Balai Pantai atas tindakan pantas, serta komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk setempat sentiasa terpelihara," katanya.


