Lelaki maut Toyota Hilux jatuh gaung

19 Aug 2023 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba membantu membawa naik mayat mangsa yang terjatuh ke dalam gaung di jalan kebun, Sungai Pertam, Sungai Ruan, Raub pada Sabtu.

image is not available
Anggota bomba menggunakan tali dan alat pengusung untuk membawa naik mayat mangsa.

KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di jalan kebun, Sungai Pertam, Sungai Ruan, Raub pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 10.42 pagi.

Menurutnya, tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub telah ke lokasi untuk bantuan penyelamatan.

"Ketika tiba di lokasi mendapati kenderaan terlibat terjatuh dalam gaung sedalam kira-kira 24 meter dan seorang lelaki dipercayai pemandu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Operasi membawa naik mayat mangsa dilakukan menggunakan tali dan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.