BALIK PULAU - Seorang pemandu traktor maut selepas jentera dipandunya terbabas sebelum terjunam ke lereng bukit sedalam kira-kira 15 meter berhampiran Tanah Perkuburan Cina Teluk Bahang, Jalan Teluk Bahang di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Hor Beng Koon, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam traktor terbabit.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM), John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.45 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang terus ke lokasi kejadian.
"Ketika kejadian jentera itu sedang menjalankan kerja pertanian di kawasan bukit berkenaan. Mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.16 petang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.- Bernama




