Lelaki melecur, asrama pekerja terbakar

31 Jul 2022 • 12:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KLANG - Seorang lelaki warga asing cedera dalam kebakaran melibatkan asrama pekerja di sebuah rumah kedai di Jalan Batu Unjur 1, Bandar Bukit Tinggi di sini pada Ahad.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian pada jam 11.41 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.48 pagi.

"Kebakaran melibatkan bahagian tingkat empat sebuah unit rumah kedai yang dijadikan sebagai asrama pekerja dengan peratusan kebakaran sebanyak 50 peratus," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Norazam berkata, kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki yang merupakan penghuni asrama tersebut mengalami kecederaan.

"Mangsa yang berumur 45 tahun melecur pada bahagian bahu diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

"Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.