Lelaki melecur gas memasak meletup

19 Dec 2025 • 2:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pekerja pembersihan melecur selepas dapur gas memasak meletup dalam kejadian di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, Muar. - Foto JBPM Johor

MUAR - Seorang pekerja kebersihan melecur pada bahagian badan selepas tong gas meletup dipercayai sedang memasak dalam kejadian di Taman Pagoh Jaya di sini malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.54 malam itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk rawatan lanjut.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Nor Alfattah Omar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh digerakkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera FRT.

"Setibanya di lokasi, anggota mendapati berlaku kebakaran perkakas memasak di rumah terbabit.

"Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki yang juga penghuni rumah berkenaan melecur 30 peratus pada badannya.

"Kebakaran berjaya dipadamkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.35 malam, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.