
Lelaki Menangis Pilu, Jalan Puluhan KM Cari Anak & Isteri Hanyut Dalam Banjir Longsor
Kisah pilu seorang ayah yang sanggup berjalan puluhan kilometer demi mencari keberadaan keluarganya yang hilang dihanyutkan banjir besar di Sibolga, Indonesia menjadi tular di media sosial.
Ebyn Hutauruk, nekad berjalan kaki siang dan malam menuju ke Kampung Tukka di Tanapuli Tengah selepas terputus hubungan dengan isteri dan anaknya yang berada di kampung itu ketika dilanda banjir kilat dan tanah longsor.
Ketika disapa oleh orang awam, Ebyn ternyata tidak dapat menyembunyikan rasa duka yang ditanggung akibat daripada kehilangan itu.
“Isteri saya sedang menggendong anak kami, sudah dua hari tidak bertemu,” kata Ebyn sambil menangis teresak-esak.
Menurut RCTI, keadaan jalan di kampung berkenaan juga rosak teruk dan terputus hubungan, hingga menyebabkan kenderaan berat tidak dapat melalui kawasan itu.
Satu-satunya cara untuk Ebyn tiba di sana hanyalah dengan berjalan kaki, sekali gus menunjukkan betapa besar rasa cinta dan tanggungjawabnya sebagai suami serta ayah dalam situasi krisis.
“Anak dan isteri di mana, saya cuma ingin tahu keadaan mereka, tolong saya” ucapnya dengan penuh rasa kesedihan.
Kisah dan tangisan Ebyn itu menyentuh hati banyak pihak kerana menggambarkan semangat seorang ayah yang tidak berputus asa mencari keluarganya dan harapan agar mereka masih selamat, walaupun berdepan bencana dahsyat.
Sumber: RCTI, Antara News
The post Lelaki Menangis Pilu, Jalan Puluhan KM Cari Anak & Isteri Hanyut Dalam Banjir Longsor appeared first on Siakap Keli.



