
Seorang lelaki yang berusia 23 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur pada dua tahun yang lalu.
Tertuduh, Muhammad Zuladha Ferhad Zuraini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini (31 Julai) dan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Rogol Remaja Perempuan Di Rumah Sendiri
Mengikut pertuduhan, dia yang merupakan pekerja syarikat pembersihan didakwa melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa yang pada ketika itu berusia 13 tahun di rumahnya antara Ogos hingga November 2022.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kejadian Terbongkar Selepas Mangsa Pengsan
Berdasarkan laporan yang dibuat, tertuduh dan mangsa baru sahaja seminggu berkenalan melalui seorang rakan sebelum keluar bersama-sama menaiki motosikal.
Sepanjang tempoh perkenalan tersebut, tertuduh membawa mangsa ke rumah semasa ketiadaan ahli keluarganya yang lain bagi melakukan perbuatan terkutuk itu.
Walau bagaimanapun, perbuatan tertuduh akhirnya terbongkar selepas mangsa mengalami pening dan pengsan di tapak ekspo pada Disember 2022.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi menjalani pemeriksaan. Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa telah hamil 14 minggu pada ketika itu.
Ekoran daripada ini, keluarga mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 17 Disember 2022 dan tertuduh ditahan polis tiga hari kemudian.
Malah, mangsa dilaporkan telah melahirkan anak pada 12 Jun tahun lalu namun bayi tersebut telah diserahkan kepada orang lain.
Mahkamah Tidak Tawarkan Jaminan Pada Mulanya
Mahkamah sebelum itu tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh setelah mengambil kira pengakuan bersalahnya itu dan perbuatannya hingga menyebabkan mangsa melahirkan anak.
Namun, setelah mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan 18 Ogos untuk pihak pendakwa menyediakan fakta dan hukuman.
Susulan daripada kebenaran ikat jamin ini, kedengaran tertuduh merayu agar keluarganya mendapatkan wang bagi membayar ikat jamin berkenaan.
“Tolonglah minta bantuan sesiapa,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Mahkamah turut menetapkan tertuduh perlu melapor diri di IPD Muar setiap awal bulan serta tidak boleh menganggu atau berkomunikasi dengan mangsa dan ahli keluarganya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Baca Artikel Berkaitan: Bapa Rogol Anak OKU 13 Tahun Ditahan, Terbongkar Selepas Mangsa Bersalin
Baca Artikel Berkaitan: Bomoh Di Melaka Rogol Remaja Sebanyak Empat Kali, Guna Alasan Buang ‘Pendamping’
Source:

