Lelaki Mengamuk Gara-Gara Gagal Jawab Ujian Lesen E-hailing

25 Nov 2022 • 8:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sabit yang dipercayai digunakan oleh seorang lelaki ketika mengamuk di sebuah syarikat e-hailing, semalam. - Gambar ihsan PDRM

KUALA LUMPUR- Gara-gara gagal menjawab ujian mendapatkan lesen kenderaan e-hailing, seorang lelaki mengamuk di pejabat syarikat berkenaan di Sungai Way dekat Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu mengamuk bersenjatakan sabit dalam kejadian jam 3.40 petang sebelum dimaklumkan kepada polis.

image is not available
Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengalami tekanan perasaan selepas gagal ujian bagi mendapatkan lesen tersebut.

“Semasa kejadian suspek yang memegang sebilah sabit bersaiz 14 sentimeter panjang bertindak merosakkan harta milik syarikat tersebut.

“Dalam kejadian itu, tiada individu dilaporkan cedera dan pihak polis bertindak menahan suspek di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhruddin, suspek mengaku terlibat dalam kes yang sama selepas disoal siasat.

Katanya, suspek telah dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan,” katanya. - Getaran 25 November 2022