GOMBAK – Seorang jemaah lelaki meninggal dunia ketika menunaikan solat fardu berjemaah di Surau Jabal Nur Taman Seri Gombak di sini pada hari pertama Ramadan.
Dalam kejadian itu, Allahyarham Alias Abd Ghani dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika memasuki satu rakaat solat, sewaktu jemaah lain sedang rukuk.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid, Allahyarham dilihat dalam keadaan sujud sebelum tidak lagi bergerak dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut hantaran Facebook Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak, pemergian Alias disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat komuniti Taman Seri Gombak, malah ramai menyifatkannya sebagai kematian yang dicemburui kerana berlaku ketika beribadah di rumah ALLAH.
"Solat jenazah akan didirikan sejurus selepas solat Jumaat di masjid berkenaan dan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Bukit Permata," katanya.
Pengurusan masjid itu merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Alias dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.


