Lelaki meninggal dunia usai solat dhuha di masjid

29 Jun 2025 • 4:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa dikatakan rebah selepas menunaikan solat dhuha.

BUTTERWORTH – Seorang jemaah lelaki ditemui meninggal dunia selepas menunaikan solat dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu di sini, pada pagi Sabtu.

Mangsa, Zulkifli Ahmad, 50, yang juga ahli Persatuan Veteran Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pulau Pinang difahamkan singgah di masjid berkenaan sebelum rebah tidak lama selepas selesai menunaikan solat sunat tersebut.

Difahamkan, arwah yang menetap di Telok Air Tawar, Butterworth telah dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak untuk dikebumikan.

Menurut ahli kariah masjid, Adnan Mohd Farok, 44, Allahyarham dikatakan rebah dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.45 pagi.

Dia menambah, Allahyarham kerap mengikuti program keagamaan bersama kumpulan tabligh yang disertainya.

Bercerita lanjut, Allahyarham rebah secara tiba-tiba ketika berada dalam keadaan bersujud sebelum disahkan meninggal dunia.

"Kejadian tersebut disaksikan beberapa ahli kariah yang berada di masjid itu bagi mengikuti sebuah program keagamaan.

"Saya ketika itu, baru sampai di masjid dan ternampak beberapa jemaah lain mengelilingi arwah yang sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Tambahnya, ketika kejadian, majlis pengajian melibatkan kumpulan muslimat sedang diadakan di masjid berkenaan.

"Ada yang menyedari arwah bersujud terlalu lama dan apabila didekati, dia terus rebah.

“Beberapa ahli kariah memeriksa keadaannya dan mendapati dia sudah tidak bernyawa,” katanya.

Adnan berkata, walaupun tidak mengenali Zulkifli secara peribadi, dia dimaklumkan bahawa arwah aktif menyertai pelbagai program keagamaan bersama jemaah tabligh dan sering singgah di masjid berkenaan.

Katanya, difahamkan Masjid Jamek Sungai Puyu merupakan salah sebuah masjid yang kerap disinggahi Allahyarham.

“Rakan-rakan yang mengenali arwah menyifatkannya sebagai seorang yang baik, rendah diri dan gemar membantu tanpa banyak bercakap hal orang lain.

“Pemergiannya dalam keadaan beribadah amat dicemburui,” katanya lagi.

Difahamkan, Allahyarham menyewa di Telok Ayer Tawar dan meninggalkan seorang isteri serta tiga orang anak.

Pemergian Allahyarham dalam keadaan tenang dan di rumah ALLAH SWT nyata menyentuh hati banyak pihak, malah dianggap sebagai kematian yang dicemburui.

Orang ramai yang mengetahui insiden itu turut menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.