Lelaki miliki dadah dipenjara 19 tahun

LocalPolitics
16 Dec 2025 • 4:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 52 tahun dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 19 tahun atas tiga pertuduhan memiliki ganja dan syabu.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Gordon Chong Set Foh selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagi pertuduhan pertama Chong dihukum penjara 13 tahun kerana memiliki 194 gram ganja pada jam 9.20 malam, 24 Disember 2022 di tempat letak kereta Funky Farm Food Court, Lorong Cyber Perdana, Kampung Kepayan.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara antara lima tahun hingga penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua Chong dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana memiliki 15.23 gram ganja di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga beliau dihukum penjara tiga tahun lagi kerana memiliki 3.36 gram syabu juga di lokasi dan masa yang sama.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkapanya dan tiada hukuman sebat dikenakan berikutan faktor umur tertuduh.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil lima saksi manakala pihak pembelaan memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.

Chong diperintahkan membela diri pada 29 Ogos lalu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim manakala Chong diwakili peguam Sylyester Kuan yang hadir mewakili Datuk Nelson Wences Angang.